Beban tugas banyak, kurang mahir menjalankan program serta tidak mempunyai
bahan atau maklumat bagi mengendalikan perkhidmatan adalah antara masalah
dihadapi guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan tanggungjawab mereka.
Justeru, sekumpulan penyelidik Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti
Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) diketuai Ab Aziz Mohd Yatim menghasilkan modul perisian interaktif
bersepadu bimbingan dan kaunseling, Prodigy, bagi merungkai segala
permasalahan itu.
Ab Aziz berkata, perisian itu dibangunkan bagi membantu kaunselor
melengkapkan diri dengan kemahiran berkaitan supaya dapat menjalankan tugas
lebih cekap dan berkesan.
Menerusi dua kandungan utamanya, iaitu pengurusan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling serta modul latihan kursus, beliau berkata:
“Pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mengandungi penyediaan
kertas kerja program, analisis, penerbitan buletin, carta Gantt, soal selidik
program, perancangan program, e-kaunseling, jadual, laporan, penyediaan
sijil, buku program dan borang berkaitan.
“Kandungan modul latihan kursus pula membabitkan ice-breaking, energizer,
kemahiran belajar lima domain, motivasi tenaga bawah sedar (subconscious),
kemahiran komunikasi P, A, C, (parents, adult, child).
“Selain itu, pengendalian disiplin alternatif, kasih sayang tanpa syarat
(Agape Love), kepemimpinan, kerjaya, personaliti, bina pasukan (team
building), relaksasi, kembarun, penghasilan video serta modul pemikiran
kreatif.”
Menggunakan modul pengurusan perkhidmatan, beliau berkata, masalah penulisan
laporan, kertas kerja, sesi kaunseling dan perancangan bulanan dapat
dilakukan lebih sempurna kerana proses dokumentasinya boleh disiapkan dalam tempoh
singkat.
Ab Aziz berkata, ketidakupayaan guru bimbingan dan kaunseling menjalankan
kursus atau program pula dapat diatasi menerusi modul latihan kursus yang
membolehkan mereka melihat kaedah pengendalian modul tertentu melalui VCD
dibekalkan.
“Dengan memiliki modul ini, kaunselor akan dapat mengendalikan kursus
mengikut kepelbagaian keadaan pelajar seperti nakal, cemerlang, kepemimpinan,
lemah pelajaran, kursus bina pasukan, keibubapaan dan kemahiran belajar tanpa
pergantungan tinggi terhadap perkhidmatan perunding motivasi luar,” katanya.
Mengenai pendekatan modul itu, beliau berkata, ia lebih mesra pelajar seperti
Ice Breaking mengandungi permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan
potensi dan aspek positif dalam diri seperti rasa hormat kepada rakan,
toleransi dan persaingan sihat.
Modul kemahiran belajar lima domain pula, katanya, antara lain membimbing
pelajar menggunakan konsep sinergi dan kreativiti untuk merangsang otak kanan
bekerja supaya dapat belajar dengan berkesan serta mengingati kandungan
pembelajaran dengan lebih mudah.
Beliau berkata, pemupukan kasih sayang dalam komuniti pula diwujudkan
menerusi modul Agape Love yang menggalakkan peserta mengamalkan sikap positif
itu tanpa mengira agama, bangsa dan kaum sejajar semangat Satu Malaysia.
“Selain kegunaan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah, Prodigy juga boleh
dimanfaat kaunselor pelajar institusi pengajian tinggi serta pengendali
program latihan bagi membangun potensi diri golongan sasaran,” katanya.
Prodigy mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa, antaranya pingat perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan
Teknologi (Itex 2009), Anugerah Inovasi UPSI 2005, selain turut didedahkan
pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru 2006 di Geneva,
Switzerland.
Sumber : Berita
Harian
|
Friday, April 26, 2013
DILEMA GURU BIMBINGAN & KAUNSELING
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment